AirAsia & Pegasus Perkukuh Hubungan Asia–Eropah Melalui Istanbul

AirAsia mencatat satu lagi perkembangan penting apabila memeterai kerjasama codeshare buat pertama kalinya dengan syarikat penerbangan tambang rendah Turkiye, Pegasus Airlines.

Kerjasama ini membuka lebih banyak pilihan perjalanan antara Asia Tenggara dan Eropah, dengan Istanbul menjadi titik persinggahan utama bagi penumpang yang menggunakan rangkaian kedua-dua syarikat penerbangan.

Pada peringkat awal, penumpang dari Kuala Lumpur boleh meneruskan perjalanan ke lima destinasi Eropah iaitu London Stansted, Moscow Vnukovo, Ankara, Zurich dan Athens melalui Istanbul Sabiha Gokcen Airport, yang merupakan hab utama Pegasus Airlines.

Menariknya, rangkaian ini dijangka berkembang secara berperingkat kepada lebih 100 laluan yang menghubungkan Asia dan Eropah. AirAsia akan menggabungkan rangkaian penerbangannya di Asean dan Asia dengan rangkaian Pegasus Airlines yang merangkumi destinasi di seluruh Eropah.

Bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada penumpang, penerbangan AirAsia X antara Kuala Lumpur dan Istanbul juga akan ditingkatkan daripada empat kepada tujuh penerbangan seminggu menjelang Februari 2027.

Laluan terus Kuala Lumpur–Istanbul itu sendiri telah mula dikendalikan oleh AirAsia X sejak November 2025, sekali gus menyediakan akses terus dari Asia Tenggara ke Turkiye.

Melalui sistem codeshare ini, perjalanan sambungan boleh ditempah dalam satu tempahan. Penumpang juga boleh menikmati kemudahan bagasi terus ke destinasi akhir tanpa perlu mengambil dan mendaftar semula bagasi ketika transit di Istanbul.

Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penumpang dari Asia. Pelancong dari Eropah juga boleh menggunakan Istanbul dan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk sebelum meneruskan perjalanan menggunakan rangkaian Fly-Thru AirAsia ke pelbagai destinasi di Asean, Asia dan Australia.

Antara rangkaian tersebut termasuk Indonesia, Filipina, Thailand, China dan Vietnam, selain pelbagai destinasi lain di rantau Asia Pasifik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Bo Lingam, kerjasama dengan Pegasus Airlines ini merupakan satu pencapaian penting dalam tahun ke-25 AirAsia dan mencerminkan usaha syarikat untuk berkembang daripada sebuah syarikat penerbangan tambang rendah Asean kepada rangkaian perjalanan yang lebih global.

Pegasus Airlines pula mempunyai rangkaian sekitar 160 destinasi di 56 negara, menjadikan Istanbul Sabiha Gokcen sebagai lokasi strategik untuk menghubungkan penumpang dari Asia dan Eropah.

Sempena pelancaran kerjasama ini, AirAsia turut menawarkan tambang promosi sehala dari Kuala Lumpur ke lima destinasi tersebut melalui Istanbul bermula RM799.

Bagi perjalanan dari Eropah ke Kuala Lumpur pula, tambang promosi bermula US$199 dari Ankara, Moscow, Athens dan Zurich, manakala perjalanan dari London Stansted bermula US$299.

Promosi ini boleh ditempah melalui AirAsia MOVE dari 2 hingga 6 September, untuk perjalanan antara 2 September 2026 hingga 27 Mac 2027, tertakluk kepada terma dan syarat. visit www.airasia.com atau AirAsiaMOVE

Dengan kerjasama ini, Istanbul bukan sekadar menjadi destinasi persinggahan, tetapi berpotensi menjadi salah satu pintu utama AirAsia untuk membawa lebih ramai pelancong Asia ke Eropah dan sebaliknya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top